Jangan lepaskan peluang ini

Sesungguhnya, tiada yang lebih menyayat hati daripada melihat bangsanya dijajah, fizikalnya mahupun mentalnya. Jika suatu masa dahulu, melayu disogokkan hanya untuk mewarisi "pekerjaan kampung" melalui sekolah-sekolah rakyat yang diwujudkan oleh penjajah British, yang mana nenek moyang kita dahulu dibenarkan bersekolah hanya sampai darjah 6 sahaja semata-mata untuk mewarisi pekerjaan petani biasa ataupun nelayan kecil-kecilan. Momokan melayu sebatang jarum pun tidak mampu hendak perbuat sangat menyakitkan hati, tapi kita telan bulat-bulat apa sahaja yang disuakan oleh penjajah British.

Tanpa kita sedari, tradisi maritim kita sedikit demi sedikit terhakis. Kewujudan bandar-bandar pelabuhan di seluruh alam melayu seumpama hilang ditelan zaman, sehingga kita melihat teknologi purba melayu melalui pandangan teknologi sekarang, walhal pengetahuan nenek moyang kita jauh lebih tinggi berbanding sains moden. Seawal abad pertama masihi, telah wujud pelbagai negarakota-negarakota di seluruh alam melayu, dari Lamuri sampai ke Ternate dan jauh merentasi Samudera yang ganas sehingga ke Rapa Nui, mahupun ke Antara Tanah Seribu (Antanarivo) seawal tahun 8,000 Sebelum masihi.

Memang sukar dibayangkan kewujudan kapal-kapal laut yang besar gedabak, boleh membawa muatan melebihi 1000 tan di zaman tersebut, memang sukar digambarkan dengan teknologi hari ini. Apatah lagi dengan racun 'inferiority complex' yang ditabur oleh penjajah-penjajah durjana yang mahu orang melayu hanya mewarisi teknik pertanian dan nelayan biasa-biasa sahaja, walhal manuskrip kuno melayu dicuri, dibawa lari balik ke negara mereka untuk dikaji dan dikeluarkan ilmu yang wujud di dalam pelbagai bidang keilmuan. Hasilnya, bangsa penjajah dan orientalis dapat menganalisis dan mengekstrak pelbagai ilmu yang wujud di alam melayu dan digunakan untuk memajukan bangsa mereka, dan mendabik dada seolah-olah semua ilmu ditemui oleh bangsa mereka, menjadikan bangsa mereka lebih berdaya saing dalam pelbagai bidang sains, sama ada sains sosial mahupun sains hayat.

Yang lebih menyedihkan, setelah hampir 59 tahun merdeka, masih ramai anak bangsa yang inferior dengan sejarah sendiri, serta luput jatidiri. Tidak kiralah di peringkat mana pun mereka, sama ada seorang menteri, profesor, guru mahupun rakyat marhaen masih terbawa-bawa racun yang disuakan oleh penjajah 59 tahun dahulu. Sibuk mengkaji pelbagai penafian (denial syndrome) tentang hikayat-hikayat melayu dan tokoh-tokoh melayu, sibuk mengkaji penafian keagungan bangsa melayu kuno, tembok-tembok batu dan sistem perbandaran melayu yang terlebih dahulu merentasi zaman. Sayangnya Kota Setar yang masih tinggal suatu masa dahulu terkubur bersama-sama dengan maksud pembangunan, amat sayang sekali artifak-artifak yang dijumpai semasa membuat pembangunan dibiarkan terkubur atau dijual di pasar-pasar gelap oleh pekerja biasa yang buta sejarah dan tidak tahu nilai sejarah sebenar, ataupun buruh warga asing yang sememangnya hanya memandang duit semata-mata.

Mujurlah, ada sekumpulan sarjana melayu yang bercita-cita tinggi dengan meneruskan pengkajian yang dikaji oleh George Coedes ataupun James Low. Melalui pemetaan Lembah Bujang, mereka telah berjaya menemui suatu tapak arkeologi yang lebih penting dan lebih menarik iaitu Kawasan Ekskavasi Sungai Batu. Kumpulan pengkaji yang diketuai oleh Datuk Prof. Dr Mokhtar Saidin berjaya mengesan dan memetakan lebih 90 buah bangunan kuno yang tertimbus di sebalik belukar dan tertanam ke perut bumi. Dengan bantuan teknologi satelit dan perkembangan keilmuan di Malaysia umumnya, dan USM khususnya, mereka berjaya mengkaji dan menggali pelbagai situs-situs purba yang sangat mengujakan. Apatah lagi terdapat sebuah ketamadunan purba yang tertua di Asia Tenggara ditemui di Lembah Sungai Batu.

SEJARAH DUNIA BAKAL DITULIS SEMULA! Itulah frasa yang sangat menggembirakan kita semua selaku pewarisnya. Jika Stephen Oppenheimer yang tiada kaitan dengan tamadun ini berasa sangat bangga dan teruja, meskikah kita terus berdiam diri melihat sahaja orang lain bersorak-sorai di atas keagungan bangsa kita? Lembah Sungai Batu telah menjadi sebuah tapak ketamadunan lengkap yang tertua, bertarih sehingga 500 tahun Sebelum kelahiran Nabi Isa. 500 tahun, semasa Parsi masih memerangi negarakota-negarakota Greek, di masa Alexander The Great belum meluaskan kuasa ke serata dunia, di masa Empangan Maarib masih mengairi negara Saba', di masa Chandra Gupta masih belum dilahirkan.... Pada masa yang sama, Kedah telah membangun menjadi sebuah negarakota yang sangat kaya dengan aktiviti peleburan besi pada skala industri! Penemuan beribu-ribu Tuyere yang bersusun dengan sistematik dan diasingkan yang rosak dengan yangv masih elok hampir sahaja memengsankan pengkaji-pengkaji tamadun neolitik barat mahupun timur. Terkejut dengan penemuan agung dalam sejarah ini.

Tamadun Kedah Tua sememangnya sebuah ketamadunan hebat yang pasti membungkam lidah orang-orang yang mengatakan melayu berasal dari Sumatera, sedangkan penemuan ritual penyembahan yang tua, 400 tahun sebelum kehadiran agama Hindu Buddha di Sungai Batu melihatkan keunikannya yang tersendiri dan tiada langsung kaitan dengan mana-mana tamadun di seluruh dunia ini, termasuklah dari India. Penemuan tempat sembahan yang berbentuk Bulat dan tertua di dunia pasti mengaitkan ia dengan bangsa yang wujud secara in-situ di Merbok, Kedah. Bangsa apa lagi kalau bukan bangsa melayu? Berbanggalah dengan pencapaian nenek moyang kita dalam berbuat negarakota, maka bangkitkanlah minda di bawah sedar masing-masing untuk lebih berdaya saing dengan bangsa lain.


Di kesempatan ini, pada Hari ini, 20 Mei hingga 23 Mei 2016, Kerajaan Negeri Kedah, PPAG USM, Korridor Utara, Jabatan Warisan dan pelbagai penganjur lain telah bekerjasama untuk mengadakan Festival Kedah Tua (2016) yang dimeriahkan dengan pelbagai program-program menarik. Kepada yang berpeluang, jangan lepaskan peluang yang hebat ini dengan menyertai program ini. Program ini turut disertai 29 orang arkeologis dan pengkaji-pengkaji terkemuka seantero dunia.


Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan Program, sila layari http://festivalkedahtua.blogspot.my/p/jadual.html

Di mana, sejarah dunia bakal ditulis semula, di bumi yang bertuah ini. Jom ramai-ramai kita meriahkan Festival yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kedah Tua… Dari Sebuah Kota Kepada Sebuah Empayar

Benarkah Istana Melaka Hanya di Bukit Melaka (St. Paul) sahaja?

Kelahiran Empayar Srivijaya – Sebuah Empayar Persekutuan