Kelahiran Empayar Srivijaya – Sebuah Empayar Persekutuan

Dalam sejarah manusia, peperangan tidak pernah dapat dielakkan. Peperangan berlaku apabila beberapa buah kerajaan saling berebut wilayah, kuasa, ekonomi, kepercayaan dan sebagainya. Semenanjung Tanah Melayu adalah sebuah kawasan yang sangat kaya di zaman dahulu. Kekayaan ini mendorong manusia-manusia yang wujud di kawasan tersebut dan manusia di sekitarnya berminat untuk menguasainya. Sesiapa yang menguasai Tanah Melayu di masa itu turut dapat menguasai ekonomi di Timur dan Baratnya. Pernyataan ini berikutan daripada Tanah Melayu terletak di laluan perdagangan dunia di masa lalu.

Sebelum 670M, berlaku persempadanan Melayu-Chenla yang wujud di Hujung Segenting Kra (Kraburi). Kawasan lembangan daratan Asia Tenggara dikuasai sepenuhnya oleh Chen-la manakala kawasan Kepulauan dan Semenanjung dikuasai oleh kerajaan-kerajaan melayu. Penyatuan etnik Mon-Khmer dalam Empayar Chen-la menyebabkan mereka menjadi sebuah empayar yang kuat, namun mereka tetap tidak dapat menguasai Kerajaan Champa (Cempaka Sari). Kerajaan Champa memiliki pertahanan semulajadi dan kebijaksanaan dalam pertahanan yang mantap, di samping memiliki tentera laut yang kuat. Kekuatan maritim dan pertahanan darat yang hebat dalam kerajaan melayu Champa menyebabkan Cen-la tidak dapat menakluki kerajaan Champa pada masa tersebut. Namun begitu, Chen-la yang sangat hebat dalam ketumbukan tentera darat dan memiliki kawasan pertanian yang sangat kaya itu tetap tidak rasa begitu kaya. Empayar Chen-la cuba untuk menguasai pelabuhan-pelabuhan entreport yang dikuasai oleh bangsa melayu. Chen-la serang pula negarakota-negarakota di Semenanjung Tanah Melayu dan melepasi had sempadan mereka iaitu di Kraburi. Chen-la serang Pan-pan, Jaya (Chaiya atau Cahaya), Khalatan, Tan-tan dan sebagainya yang terletak di Pantai Timur Utara Semenanjung Tanah Melayu.

Kekuatan tentera darat Chen-la sangat menakutkan. Mereka menjarah dan menakluki ibukota melayu di Pantai Timur selama beberapa tahun menyebabkan perdagangan Timur dan Barat beralih ke arah Selatan dan menyebabkan pelabuhan Negara Malayu, Khaling dan Duo-po-deng pula yang menjadi popular dan dikenali umum. Pada Tahun 644M, negara Moloyu menghantar utusan dan ufti ke Kerajaan Tang. Walaupun tiada rekod berkenaan perang yang melibatkan negarakota-negarakota melayu di Segenting Kra dengan Chen-la, namun rekod China menunjukkan Chen-la menghantar semula utusan pada tahun 616M, 33 tahun selepas tidak menghantar utusan menunjukkan permulaan kepada Kerajaan Chen-la yang menjadi kerajaan utama selepas keruntuhan Funan di Dataran Mekong. Menurut Xin Tang Shu (Kronik Tang Baru), Chen-la telah menyerap seluruh negarakota dalam kerajaan Funan yang lama. Dalam tahun 616M hingga 670M, Kha-la-tan, Tan-tan dan Lang-Hia-Shu tidak menghantar utusan ke China kerana sebagai bekas negara persekutuan Tanah Merah (Chih-tu), mereka di bawah penguasaan Pan-pan yang dikuasai oleh wangsa Funan, namun sering menghadai ancaman serangan Chen-la.


Photo kredit: http://akbartrik.blogspot.my/2014/03/indonesian-sriwijaya-kingdom-history.html
Selain ancaman dari empayar tetangga, negarakota-negarakota melayu mengalami kemerosotan hasil dari perdagangan terus antara Parsi dan Arab dengan Negara China, melalui perdagangan maritim. Ini dibuktikan dengan penghantaran sebanyak 27 utusan dari Parsi dan 29 utusan dari Tanah Arab dari awal abad ke-7 M hingga pertengahan abad ke-8 M.
Bagaimana Srivijaya muncul? Srivijaya ini telah wujud sezaman dengan Funan lagi. Seriwijayamala adalah sebuah kota pelabuhan yang wujud di Dataran Kelantan hari ini, dan rekod kewujudannya dari abad ke-4 M lagi. Kewujudan Seriwijayamala dalam hikayat-hikayat di Kelantan dan Pattani mengukuhkan lagi kelahiran emporium ini atas nama sebuah negarakota yang menjadi JUARA bagi persekutuan ini. Empayar Srivijaya muncul melalui gabungan negarakota-negarakota melayu yang bersetuju mewujudkan satu entiti politik dalam menghadapi politik perdagangan dengan Kerajaan Tang disamping menghalang serangan daripada Chen-la. Perbincangan ini dilakukan di Bukit Suci yang diabadikan nama sebagai Bukit Srivijaya (Bukit Sri Berjaya atau Khao Si Wichai) terdapat 8 buah kuil purba yang dijumpai di dalamnya. Pada tahun 670M, Srivijaya pertama kalinya dalam sejarah muncul menghantarkan utusan ke Negara Tang. Kewujudan emporium Srivijaya dalam sejarah diasaskan daripada sebuah kerajaan persekutuan Thalassokrasi Raja-raja Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, yang mana seorang Yang Dipertuan Agung dilantik sebagai Ketua Emporium ini. Menurut catatan Sejarah, Ketua Emporium Srivijaya bergelar Dapunta Hiyang. Dalam catatan prasasti Kedukan Bukit, tercatat namanya sebagai Dapunta Hiyang dan dalam prasasti Talang Tuwo, tercatat namanya sebagai Sri Jayanasa. Pada awalnya, negarakota-negarakota ini mencapai persetujuan dengan melantik waris dari dinasti Funan yang menguasai Panpan sebagai Dapunta Hiyang yang bergelar Sri Jayanasa (Jayanaga).

Perlu diingati bahawa tradisi negara melayu dari dahulu hingga sekarang, Raja tidak melantik dirinya sendiri. Biasanya, raja-raja melayu ditabalkan oleh Pawang Diraja atau Mangkubumi atau Tok Temong atau Mengkong atau pelbagai gelaran yang diberikan kepada jawatan yang sama seperti Perdana Menteri untuk melantik raja di negarakota tersebut. Raja biasanya akan mengarahkan pembesar membuka Kota terlebih dahulu, kemudian barulah raja tersebut dijemput untuk merajai negarakota tersebut jika sesuai dijadikan negeri. Dalam kes Empayar Srivijaya, Raja-raja Negarakota yang terlibat bersetuju melantik seorang Dapunta Hiyang dan raja-raja yang lain menjadi Dapunta sahaja. Antara yang wujud dalam catatan sejarah ialah Dapunta Selendra. Dapunta Selendra terpahat namanya dalam Prasasti Sojomerto di Jawa Tengah. Pada pendapat saya, akibat daripada ancaman tentera darat Chen-la, negarakota-negarakota melayu mengadakan persidangan di Bukit Srivijaya dan bersetuju membentuk sebuah empayar persekutuan dari segi pentadbiran dan hubungan dagangan, seterusnya menghantar utusan memaklumkan tentang gabungan tersebut ke Kerajaan Tang, seterusnya mencadangkan polisi perdagangan negara China dan Melayu diubah kepada bentuk emporium sahaja. Tindakan ini berjaya mengekang ancaman Chen-la kepada negara melayu.
 
bendera Srivijaya
The Memoir of Yi Jing mengisahkan tentang perjalanan Yi Jing (juga disebut sebagai I-Ching) dan 25 orang pendeta yang mengadakan perjalanan dari China ke India. Dalam kembaranya, Yi Jing menumpang Kapal Parsi yang mengambil laluan terpantas berdasarkan tiupan angin monsun iaitu selama 20 hari sahaja dari Tonkin ke Shi-lih-fo-shi. Kapal Parsi tersebut bukanlah kapal perang atau kapal nelayan, malahan ia adalah kapal kargo yang membawa muatan hasil dagangan. Semestinya kapal dagangan akan menggunakan laluan sutera laut yang paling hampir dari Timur ke Barat. Kapal dagangan Parsi singgah di Fo-che (Shih-lih-fo-shih) dan menurunkan Yi Jing di sana. Fo-che yang dinyatakan adalah sebuah pelabuhan yang menjadi Pusat Penyebaran Agama Buddha antara terbesar di rantau ini, dan semestinya terletak di laluan perdagangan tersebut. Oleh yang demikian, Shih-lih-fo-shih adalah sebuah negara yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Ini berikutan kewujudan pelabuhan yang paling hampir dengan Pulau Kundur dalam laluan Sutera Laut ialah di kawasan tersebut. Raja Shih-lih-fo-shih sangat ‘alim’ dengan agamanya, lantas memberikan kemudahan kepada Yi Jing ke Malayu dan singgah di sana selama 2 bulan sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah.
                Sebenarnya terdapat banyak teori kedudukan terawal Kota Srivijaya. Hampir satu abad yang lalu, George Coedes, Sejarahwan Perancis menemui pelbagai catatan dan prasasti yang boleh dikaitkan dengan Srivijaya, lalu dengan jumpaan sejumlah besar Prasasti milik Srivijaya di Palembang, maka George Coedes memutuskan bahawa permulaan Srivijaya ialah di Palembang. Namun, teori Coedes mula diragui oleh Sejarahwan Jepun seperti Takakusu dan sarjana terkemudian seperi Kern yang mana catatan berkenaan Palembang sebagai ibukota Srivijaya sebelum 670M sangat meragukan kerana:
  1. 1)   Tiada kesinambungan daripada empayar lama seperti Langkasuka, Funan mahupun Chi-tu.
  2. 2        Berada jauh daripada laluan perdagangan antarabangsa sebelum 670M iaitu laluan Trans-Semenanjung
  3. 3)      Perjalanan Yi Jing (I-tsing) yang tidak relevan dengan Palembang, kerana kedudukan Pulau Kundur (Con Son Island) yang sangat tidak tepat.
  4. 4)      Kewujudan prasasti kutukan di ibukota Palembang. Prasasti kutukan menunjukkan ia sebuah Kota yang ditawan, bukan kota asal.

Lambang Srivijaya: Wau Bulan
Oleh yang demikian
, saya sangat berpendapat bahawa Srivijaya lahir dari Utara Semenanjung Tanah Melayu iaitu dalam laluan Trans-Semenanjung. Kewujudan perdagangan secara terus antara Negara Arab, Parsi dan India dengan Tamadun China merudumkan ekonomi Srivijaya sehinggakan mereka mengenakan cukai tol yang tinggi kepada kapal-kapal yang melalui laluan Trans-Semenanjung. Keadaan ini menyebabkan pedagang-pedagang mula menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Selat Melaka dan berlabuh di Pelabuhan Empayar Melayu di Pelabuhan Lima Pulau (Melaka), Pelabuhan Sungai Melayu, Temasik, Bintan dan sebagainya menyebabkan Srivijaya bertindak menyerang dan menyerap Melayu ke dalam wilayah empayarnya, lalu membuka Ibukota baharu di Palembang sebagai langkah mengawal aktiviti di Selat Melaka dan Aktiviti agraria di Sumatera.

Rujukan:
1)          2014, Geoffrey Goble, Maritime Southeast Asia: The View From Tang–Song China, The Nalanda-Sriwijaya Centre, Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)
2)          2012, Suzuki Takashi, The History of Srivijaya: Under The Tributary Trade System of China, JPCA 
3)          1961, Paul Wheatley, The Golden Khersonese, University of Malaya Press



Ulasan

  1. Salam,

    Srivijaya itu sendiri berubah-rubah dinasti sepanjang kewujudannya.Apatah lagi pusat pemerintahannya.

    :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. wasalam, Nanti kita kembara pula perkembangan Kedatuan Srivijaya... hehehe

      Padam
    2. BUKIT SRIVIJAYA ATAU BUKIT SUCI DI MANA LOKASINYA

      Padam
  2. Hang masalah ni..mana buleh bg pendapat saya..kena ada fakta

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kedah Tua… Dari Sebuah Kota Kepada Sebuah Empayar

Benarkah Istana Melaka Hanya di Bukit Melaka (St. Paul) sahaja?